........... Teks Ucapan Datuk Maznah - Padat Dan Perlu Di Beri Perhatian ! TAHNIAH ! | dinturtle - Blogger PARTI MELAYU

Teks Ucapan Datuk Maznah - Padat Dan Perlu Di Beri Perhatian ! TAHNIAH !

Friday, November 28, 20146comments





TEKS UCAPAN DATUK MAZNAH HAMID

Sebagai seorang usahawan yang hampir 35 tahun berkecimpung dalam dunia perniagaan, keusahawanan, ekonomi usahawan, serta berdepan dengan pelbagai dugaan, cabaran dan kepayahan, saya bersyukur dengan  pengalaman yang saya lalui. Kini sampai masanya, saya membantu ekonomi orang Melayu, khususnya Wanita.

Para hadirin yang saya hormati sekalian,

Mengikut penemuan kajian Pemandu, sejak Program Transformasi Ekonomi (ETP) dilancarkan pada tahun 2010, walaupun Pendapatan Kasar Negara (GNI) semakin meningkat tetapi Pendapatan Isi Rumah MELAYU bumiputera semakin ketinggalan berbanding kaum-kaum lain. Jurang ekonomi semakin melebar dan sekiranya tidak dikawal, boleh menjurus kepada sentimen perkauman dan berkemungkinan berlakunya insiden serupa 13 Mei 1969.

Nauzubillahi minzalik !

Apakah kita mahu perkara ini berulang ?

Walaupun telah ditubuhkan agensi-agensi yang berkaitan untuk membantu ekonomi bumiputera namun jurangnya tetap melebar malah dengan begitu pantas. Secara realitinya, inilah kerisauan utama orang melayu kerana merekalah yang pertama akan merasai keperitan kesan kenaikan harga barangan sebab pendapatan isirumah yang terendah. Kerisauan ini jelas terbukti dengan tentangan diperingkat awal perlaksanaan GST oleh bumiputera sendiri. Walhal, salah satu objektif utama GST ialah untuk ‘capture grey economy area’ oleh masyarakat peniaga, serta menjana pendapatan yang lebih baik untuk negara melalui kaedah yang lebih cekap dibandingkan dengan sistem percukaian sekarang.

Mengambil kata-kata Presiden baru-baru ini, perlu ada formula drastik untuk menangani isu ini.

Sedarkah kita, dalam unjuran yang dikeluarkan oleh Jabatan Statistik Malaysia (DOSM), pada tahun 2020 nanti, pendapatan isi rumah bagi kaum Melayu hanya sebanyak RM7,600.00 sebulan, kaum Cina RM12,000.00 sebulan dan India RM10,400.00 sebulan. Nampak ke tuan-tuan bezanya ? Melayu tertinggal jauh dalam jurang ekonomi. Apakah sebabnya ?

Maknanya jurang pendapatan isirumah antara kaum Melayu dengan kaum Cina akan bertambah sebanyak RM4,400 pada 2020 mengikut trend data sedia ada, manakala pada tahun 2012, jurangnya adalah hanya RM1,900.

Dari segi Pendapatan Kasar Negara (GNI) pula, Pemandu unjurkan Negara akan mencapai Pendapatan Kasar (GNI) sebanyak RM1,700 billlion pada 2020.

Berdasarkan  kiraan kasar, Pendapatan Kasar Negara (GNI) Bumiputera melalui pendekatan “GDP by Income” adalah dalam lingkungan RM190 billion pada tahun 2009.

Mengikut unjuran Pemandu, GNI Bumiputera hanya setakat RM250 billion bersamaan 14.7% sahaja! Angka ini tidak dapat diterima!

Jika ianya meningkat dengan pertumbuhan CAGR (Compound Annual Growth Rate) yang sama dengan ekonomi Negara (iaitu 9% nominal), ia akan menjadi RM487 billion.  Namun itu adalah senario yang optimistik. Kemungkinan besar ekonomi Bumiputera tak dapat capai ke tahap itu dengan program dan dasar sedia ada.

Walaubagaimanapun, jika senario optimistik itu masih digunakan, GNI per capita berdasarkan jumlah penduduk Bumiputera yang jauh lebih besar (20 million) pada 2020, bererti GNI per capita Bumiputera pada 2020 hanya RM24,350 iaitu hanya setengah dari angka purata nasional, atau lebih kurang satu perempat (1/4) atau satu perlima (1/5) dari angka purata bukan bumiputera.

Butir-butir ini kita pohon Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Pemandu untuk sahkan.

Tanyalah Pemandu untuk mendapatkan maklumat lengkap. Namun, janganlah risau kerana saya bersama kumpulan PEMIKIR dan PENGKAJI telah melaksanakan satu kajian semula dan menemui satu formula yang diberi nama Program Transformasi Bumiputera atau Bumiputera Transformation Program (BTP).

Dalam program ini, kami telah mengunjurkan GNI per kapita Bumiputera sebanyak RM487 billion akan dilonjak ke RM900 billion, iaitu peningkatan sebanyak dua kali ganda GNI per capita tanpa program transformasi Bumiputera dan bersamaan 50% jumlah pendapatan kasar negara. Ini memenuhi hasrat yang terkandung dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang tidak pernah tercapai setakat ini.

Bagaimanakah caranya, untuk mencapai RM900 billion ini pada tahun melepasi 2020? Maka sekiranya jika, Yang Amat Berhormat Presiden berminat untuk mengetahui lebih lanjut program ini, kami amat berbesar hati untuk memberi penjelasan lanjut.

Sebenarnya, teringin juga untuk menjadi tenaga pemikir kepada PM, tak bayar pun tak pa……….

Para hadirin yang saya hormati sekalian,

Sedarkah kita semua bahawa pendapatan isi rumah kaum melayu adalah yang paling rendah? Sebanyak 75% komposisi melayu kita berada dalam kategori pekerja separa mahir dan kurang mahir dan hanya 25% sahaja dalam kategori pengurusan, pekerja mahir dan professional.

1400 tahun yang lalu, Nabi Muhammad SAW juga menggalakkan agar orang-orang Islam jika mahu hidup senang dan mewah, juga membantu masyarakatnya, hendaklah mereka berniaga. Saya selalu berkata, kini perniagaan, keusahawanan bukan lagi sebagai pilihan, malah keperluan dan kewajipan.

Maka, untuk mempertingkatkan ekonomi orang melayu, peluang-peluang pekerjaan melalui usahawan-usahawan melayu hendaklah dipertingkatkan.

Malangnya, maklumat peluang perniagaan dan insentif-insentif yang ditawarkan oleh kementerian atau agensi, masih tidak memberansangkan minat bakal usahawan bumiputera. Mengapa ?

Kita semua sedia maklum, bahawa, melalui pengumuman Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera oleh Yang Amat Berhormat Presiden baru-baru ini, banyak pelan tindakan telah dijadikan sebagai fokus utama. Antaranya  : (mohon para perwakilan tolong sama-sama semak dan teliti ya…..)

Memperkuatkan peranan agensi pembangunan usahawan Bumiputera seperti Amanah Ikhtiar Malaysia, TEKUN Nasional, MARA dan PUNB.

Menambah Pembiayaan pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia sebanyak RM300 juta.

Menambah pembiayaan pinjaman kepada TEKUN Nasional sebanyak RM700 juta.

Mengarahkan kementerian dan agensi mengukuhkan Program Pembangunan Vendor

Memastikan jangkamasa kontrak dan konsesi vendor disesuai dengan tempoh bayar balik pinjaman bank.

Melonjakkan Program Pembangunan Vendor (VDP) di bawah PETRONAS, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Telekom Malaysia (TM), Axiata dan United Engineers (Malaysia) Berhad (UEM)

Ketua Pegawai Eksekutif GLC menetapkan sasaran penyertaan Bumiputera sebagai KPI.

Program VDP PETRONAS RM20 bilion setahun dan 22 skop kerja untuk Bumiputera.

GLC dan GLIC menerajui usaha mengwujudkan konsortium syarikat Bumiputera dalam sektor rangkaian perbekalan.

Mempergiatkan program penswastaan perkhidmatan Kerajaan secara terpilih

Memperluaskan dasar carve out.

Membina satu komuniti baru entrepreneur Bumiputera.

Memperkenalkan Skim Usahawan Permulaan Bumiputera     (SUPERB).

Jika dilihat senarai ini, ianya dilihat cukup hebat dan indah, tetapi keindahan ini hanyalah sebuah mimpi, masih belum kelihatan realitinya. Sebagai contoh,

Sejauh mana Program Pembangunan Vendor (VDP) berjaya?

 Sejauh mana sasaran Indeks Petunjuk (KPI) penyertaan Bumiputera sebagai vendor Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) telah dicapai ?

 Manakala program VDP Petronas sebanyak RM20 billion setahun pula dengan angkuhnya dikecam oleh Presiden CEO nya sendiri. Malah kecaman beliau ini telah di siarkan di dalam akhbar utama pada 23 Jun yang lepas, dengan kenyataan “PETRONAS KECAM BIROKRAT KERAJAAN’,dengan kata-kata lain, Akta Pembangunan Petroleum 1974 adalah milik semua rakyat Malaysia dan juga menyebut minyak dan gas bukanlah milik Bumiputera semata-mata. Beliau juga menyebut bahawa minyak dan gas boleh menjadi milik kerajaan dan juga boleh menjadi milik pembangkang atau sesiapa sahaja. Kononnya beliau hanyalah penjaga, walhal, tindakan beliau ini seperti ‘kera dihutan disusukan, anak dipangkuan mati kelaparan’.

 Siapakah anak itu? Bumiputera.  Siapakah kera itu?

Tidakkah ada Bumiputera yang layak mengendali projek-projek seperti ini? Seperti yang kita tahu, banyak yard kepunyaan local fabricator bumiputera yang kosong sekarang. Tabung Haji mempunyai kapasiti dan kekuatan kewangan yang lebih dari cukup, untuk melaksanakan projek ini. Mengapa ke Korea? Apa istimewanya syarikat luar?

PETRONAS ADALAH LAMBANG KEKAYAAN TANAH MELAYU, UNTUK MELAYU.
Jadi para hadirin sekalian, adakah melayu seperti ini, layak menerajui PETRONAS?

Sebagai contoh lagi, kerana apa MAS gagal? Tiada pemantauan……

Dengan ini, Wanita menegaskan bahawa 13 senarai yang menjadi fokus utama agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera perlu diletakkan di bawah satu bumbung pemantauan. Tidak ada gunanya rumah yang indah tanpa berpenghuni, ibarat kapal tidak bernakhoda.

Tugas dan amanah ini amat berat dan tidak akan dapat dilaksanakan jika ianya hanya diletakkan di bawah pengawasan secara sambilan. Maka, keperluan untuk mengembalikan Kementerian Pembangunan Usahawan (MECD) tidak dapat dielakkan lagi. MESTI diwujudkan agar pemantauannya lebih teratur, fokus dan mendalam.

BETUL TAK TUAN-TUAN? Wanita mengatakan MECD adalah lambing MELAYU dan ianya wajib diwujudkan.

Hanya MECD sahaja lah, sebagai satu badan khusus, yang dapat menjadi pentas dan saluran untuk melaksanakan 13 agenda tersebut dan seterusnya dapat melonjakkan ekonomi bumiputera!!

Para hadirin yang saya hormati sekalian,

MECD juga tidak boleh berdiri dengan sendiri tanpa dibantu oleh agensi-agensi kerajaan yang lain seperti GLC. GLC perlu mempertahankan objektif asal penubuhan.

Maka, pihak-pihak GLC seperti Petronas, Sime Darby, TNB, TM, MAS dan lain-lain, perlu kembalikan hak-hak bumiputera, melayu khasnya, seperti agenda asal penubuhan GLC, agar selari dengan Artikel 153.

Mengapakah polisi yang diamalkan selama ini, tidak di endahkan lagi dan di ikuti oleh pengurusan masa kini.

Ada juga GLC yang mempunyai pegawai-pegawai Melayu, tetapi tidak lagi menyokong kerajaan?

Sesuatu perlu dilakukan segera oleh kepimpinan!

Wanita berpendapat, pegawai-pegawai Melayu ini yang telah diamanahkan memimpin GLC, sudah tidak lagi punyai ROH PERJUANGAN MELAYU dan tidak juga memahami sejarah perjuangan orang-orang Melayu. Dan amat menyedihkan, Professional Melayu semakin ramai telah melupai jasa-jasa perjuangan UMNO yang telah meletakkan mereka ditempat-tempat di mana mereka sekarang berada.

Para hadirin yang saya hormati sekalian,

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih bagi pihak Wanita, di atas keyakinan pimpinan terhadap Wanita di dalam sektor penjawat awam, yang mana kini telah ramai Wanita dilantik sebagai pembuat dan pelaksana dasar di pelbagai Kementerian dan agensi Kerajaan.

Apa yang Wanita terkilan, belum ramai lagi penglibatan Wanita dalam GLC. Mengikut statistik lapuran G20 kepada Putrajaya Committee, hanya 12.9% daripada Ahli Lembaga Pengarah di GLC adalah Wanita. Ini masih jauh dari sasaran 30% menjelang tahun 2016, sepertimana dikehendaki oleh Akta Agenda Wanita sebagai Ahli Lembaga Pengarah.

Setelah apa yang saya nyatakan, Wanita perlulah diberikan peranan yang lebih bermakna, bagi membantu merealisasikan pencapaian ekonomi melayu, sejajar dengan perjuangan Wanita yang menjadi tunjang dalam kejayaan UMNO dari dulu, kini dan selama-lamanya.

Maka, Wanita menggesa supaya pimpinan menguatkuasakan sekurang-kurangnya 30% di dalam segala pemberian tender dan peruntukkan pembangunan di semua kementerian dan agensi kerajaan mesti diberikan kepada kaum wanita di dalam semua sektor perniagaan.

Begitu juga dengan penglibatan Bumiputera di dalam industri halal yang perlu dipertingkatkan. Akibat dari kurangnya penglibatan Bumiputera, maka berlakunya salahguna HALAL yang begitu berleluasa ketika ini.

Oleh itu, saya cadangkan agar diwujudkan agensi pemantauan dan penguatkuasaan yang lebih efektif, yang akhirnya boleh menjana pendapatan untuk Bumiputera.

Dengan tertubuhnya kembali MECD yang saya sebutkan di awal tadi, Kementerian inilah juga yang akan bertanggungjawab memberi bimbingan, tunjuk ajar serta bantuan khusus untuk syarikat-syarikat Industri Kecil dan Sederhana (IKS) melayu yang menghadapi masalah untuk mendapatkan pensijilan HALAL.

Tahukah tuan-tuan, industri HALAL serata dunia mempunyai nilai dagangan berjumlah US  Dollar 3 trillion, itu dalam tahun 2009 tuan-tuan, dan anehnya, industri HALAL ini dimonopoli oleh bangsa asing yang bukan beragama Islam dan berpusat di negara yang bukan Islam.

Maka, Wanita amat berharap agar industri HALAL ini hendaklah mendapat perhatian yang serius dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa.

Para hadirin yang saya hormati sekalian,

Dalam usaha untuk menaikan taraf keselesaan hidup dan mengembalikan sokongan padu rakyat pada UMNO dan kerajaan, Wanita berpendapat usaha untuk mengadakan satu (1) juta rumah untuk rakyat yang di namakan RUMAH MAMPU MILIK, seperti mana yang telah di ishtiharkan oleh Yang Amat Berhormat Datuk Seri Presiden, perlulah disegerakan. Ini adalah suatu program pembinaan yang amat dialu-alukan oleh rakyat jelata. Tetapi, program yang dirancangkan ini perlulah diperhalusi dan juga di percepatkan lagi menerusi kelulusan tanah daripada pihak negeri-negeri dan ‘development order’, secara ‘fast track’.

Adakah pihak kerajaan terutama sekali Bank Negara telah memperakui sistem pemberian pinjaman 110% sepertimana yang telah diwar-warkan oleh Yang Amat Berhormat Presiden baru-baru ini? Dan juga adakah sistem ini boleh digunapakai oleh pemaju-pemaju Bumiputera lain?

Juga, adakah mekanisme daripada Bank Negara untuk digunapakai oleh Bank-Bank Komersial dalam agenda memberi lebih FLEXIBILITY di dalam proses pinjaman kepada pembeli-pembeli yang kebanyakan nya terdiri daripada golongan berpendapatan rendah, yang rata-rata tidak mempunyai dokumentasi pendapatan kewangan yang kukuh. Saya difahamkan, peraturan bank sekarang memerlukan pendapatan sekurang-kurangnya RM6,000.00 bagi melayakkan pembeli mendapat kemudahan pinjaman bank ke atas Rumah Mampu Milik. Berapa ramaikah bumiputera yang mempunyai pendapatan sebegini?

Pada tahun 2005 - 2006, rumah-rumah yang diklasifikasi kan sebagai ‘low medium housing’ yang berkeluasan 800-850 kaki persegi, dijual pada harga kurang daripada RM100 ribu. Bagaimana pada tahun 2012, sewaktu rumah mampu milik dilancarkan, dengan saiz rumah yang berkeluasan 800-850 kaki persegi, ditetapkan pada harga RM300 ribu? Berdasarkan kiraan ini, kadar harga rumah telah meningkat sebanyak 300% dalam tempoh 7 tahun!! Apakah asas kiraan yang menaikkan harga yang sebegitu tinggi?

Jadi, kita mintalah supaya rumah mampu milik ini tidak dijadikan sebagai RUMAH MAMPU LIHAT. (TPM pun kata lagu tu…)

Wanita UMNO memohon agar pimpinan kerajaan menyemak kembali kadar harga jualan Rumah Mampu Milik. Ini boleh menarik balik sokongan dan mengembalikan keyakinan rakyat kepada parti, sekiranya harga rumah tersebut berpatutan.

Dalam masa yang sama, kami turut memohon agar keutamaan untuk memiliki rumah ini di beri kepada ibu-ibu tunggal, golongan anak muda yang baru mendirikan rumahtangga, penjawat awam dan bekas-bekas penjawat awam. Tahukah tuan-tuan, hampir separuh daripada penjawat awam masih tidak memiliki rumah dan hampir 40,000 bekas penjawat awam yang juga tidak memiliki rumah? Fikir fikirkanlah.

Para hadirin yang saya hormati sekalian,

Saya rasa, Yang Amat Berhormat Presiden perlulah mengkaji kembali dengan lebih mendalam, sebelum sebarang keputusan muktamad berhubung Perjanjian Perkongsian Trans Pasific atau Trans Pasific Partnership Agreement (TPPA) dibuat. Penjelasan yang lebih jelas dan terperinci amat diperlukan, kerana kerisauan rakyat pada isu ini adalah amat tinggi. Pada masa sekarang, apa yang rakyat faham adalah Perjanjian Perkongsian Trans Pasific (TPPA) tidak akan memberi apa jua keuntungan kepada rakyat terutamanya Bumiputera yang terpaksa bersaing hebat dengan pelabur-pelabur asing. Asas kita pada Perlembagaan 153 akhirnya menjadi tidak lagi relevan. Dan apa yang kami cadangkan lebih awal tadi tidak akan menjadi kenyataan dan hanya akan tinggal sebagai mimpi indah.

Yang Amat Berhormat Presiden,

Dalam mengembalikan keyakinan rakyat kepada UMNO dan Kerajaan, maka INTERGRITI vs RASUAH harus diambil sebagai agenda paling utama oleh pemimpin-pemimpin UMNO.

Dalam Indeks Persepsi Rasuah yang dijalankan Transparency International, Malaysia menduduki tangga ke – 53 daripada 177 buah negara. Untuk rekod, dalam Laporan Global Financial Intergrity, Malaysia menduduki tempat ke – 4, dari segi jumlah kumulatif pengaliran keluar dana secara haram yang berjumlah RM880 billion untuk tempoh di antara tahun 2002 – 2011.

Pada hari ini, jika kita duduk bersembang bersama kenalan, bukan kenalan, anak-anak muda termasuklah anak-anak kita sendiri, UMNO akan dikaitkan dengan rasuah. Inilah persepsi yang telah dan sedang berterusan meracuni minda rakyat. Malah, isu-isu rasuah didalam jabatan-jabatan dan agensi-agensi kerajaan dan juga GLC akan terus dikaitkan dengan UMNO, kerana UMNO lah yang menerajui kerajaan. Rasuah telah sinonim dengan UMNO. Amat sedih, sehinggakan setiap tindakan pembetulan yang kita ambil, dianggap lakonan oleh masyarakat umum.

Wanita mencadangkan agar  :

Pemimpin semua peringkat yang dikenalpasti tidak berintergriti harus dipinggirkan.

Penjawat Awam yang menjadi pentadbir Kerajaan yang tidak berintergriti juga harus diambil tindakan.

Tindakan yang sama juga perlu diambil jika individu yang terlibat adalah dari kalangan ahli-ahli politik kerajaan mahupun dari parti-parti pembangkang.

Segala tindakan dan hukuman yang diambil terhadap pesalah hendaklah dihebahkan dengan telus kepada umum sebagai langkah pencegahan yang berkesan. Janganlah hebahkan yang ikan bilis sahaja………

Dalam perjuangan politik, wadah untuk agama, bangsa dan tanah air merupakan perkara paling utama, berbanding kepentingan hajat dan kemahuan peribadi.

Sebelum saya mengakhiri ucapan saya hari ini, saya meminta sangat-sangat kepada Yang Amat Berhormat Presiden dan Ahli-Ahli Majlis Tertinggi UMNO untuk dapat merealisasikan lonjakkan ekonomi melayu Bumiputera melalui pelan-pelan yang telah digariskan, dan masalah intergriti di ambil tindakan yang amat serius, jika kita hendak kembalikan keyakinan rakyat kepada UMNO, demi masa depan orang melayu, agama, bangsa dan negara.

Mengimbau kembali kenangan para hadirin, pada waktu ketika perhimpunan Melayu yang pertama di Padang Kelab Sultan Sulaiman, sekumpulan anak-anak Melayu telah membawa sepanduk yang menyeru kepada pejuang-pejuang pada masa itu dengan mesej “WAHAI BAPA-BAPA KAMI, PERTAHANKANLAH HAK-HAK KAMI HINGGA KAMI MEMBESAR”.

Maka kita, pemimpin-pemimpin waktu ini harus mempertahankan hak-hak anak cucu kita sehingga mereka membesar. Kesinambungannya, kita juga mestilah menanamkan perasaan cintakan bangsa, agama dan negara, agar mereka juga akan dapat mempertahankannya untuk anak cucu mereka.

Wabillahitaufik wal hidayah,

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Share this article :

+ comments + 6 comments

....................
Reply To This Comment ...................
Anonymous
November 28, 2014 at 11:56 PM

salam,
sebetulnya ucapan yang baik dan terbaik. tak nampak ayat bodek dan ampu. tapi presiden umno, ah jib gor tu dengar dan faham tak? tunggu presiden dapat maklumat daripada pemandu untuk menjawab tu. kalu tak jawab, hanya sia-sia ajer ucapan tu, pemimpin tak dengar.

....................
Reply To This Comment ...................
Anonymous
November 29, 2014 at 5:57 AM

HEBAT sekali ucapan MEMBERANSANGkan YB Datuk Maznah Hamid ini - bagus juga kalau beliau diberi KUASA lebih besar dl. UMNO termasuk menjadi antara PENASIHAT TERTINGGI YAB PM/TPM kita - untuk meREALISASIkan dgn. amat TEGAS-BERANI-SEGERA Agenda BUMIPUTERA bukan hanya dlm. bidang ekonomi tetapi juga secara holistik, berkaitan dgn. sosial-politik BUMIPUTERA Islam/Melayu dan BUMIPUTERA lain!

Dan pemimpin WANITA UMNO seperti beliaulah yg. harapnya dapat MEMIMPIN si-muda-LIBERAL dlm. Putera/Puteri-UMNO yg. bongkak-tak-tentu-arah waktu Konvensyen ni -
bukan main ala-"revolusi anak/muda Arab Spring-tajaan FcBook-yg. kepunyaan si ZIONIS-JAHANAM”, nak MENYALAHkan semata-mata, pemimpin lama/lebih TUA/warga emas pula! Dan juga baru setahun jagung; serta ada yg. tak BERMORAL, tapi dok ingat sewenangnya nak RAMPAS kuasa termasuk nakkan jawatan-ala-keretapi-EKSPRES dlm. UMNO/JPA/GLC sesuka hati; seolah pemimpin yg. lebih lama/tua dan matang, dah TAK berguna; kolotlah dan tidak perlu dihargai! Itukah cara mereka MELAYAN mak-bapak/tok-nenek depa?!

Nenek TUA Sambal Petai.

....................
Reply To This Comment ...................
Anonymous
November 29, 2014 at 6:54 AM

Sedih dan dengan rasa kesal kita tidak melihat seorang pun perwakilan yang berucap menyentuh soal TPPA kenapa? adakah telah dinasihatkan atau ? ? ? ?

....................
Reply To This Comment ...................
Anonymous
November 29, 2014 at 8:28 AM

Rasanya program transformasi ekonomi khas untuk bangsa cina rasanya....demi undi katanya!!!

....................
Reply To This Comment ...................
Anonymous
November 29, 2014 at 7:00 PM

Apa2pun kuasa politik 2/3 kerusi parlimen dulu,untuk mendapat kelngsungan sosial ekonomi orang melayu.

....................
Reply To This Comment ...................
PakKaduk
November 30, 2014 at 2:35 PM

Syabas WANITA UMNO kerana berani menyuarakan hasrat akar umbi! Malulah PEMUDA UMNO!

Saya tertarik dengan kata2 Datuk Dr Maznah Hamid .... "Sebenarnya, teringin juga untuk menjadi tenaga pemikir kepada PM, tak bayar pun tak pa………."

Ramai ahli UMNO yang berpemikiran jauh dipinggirkan oleh Ah Jib Gor. Beliau sanggup bayar orang luar mahal2 sebagai CONsultants sedangkan dalam UMNO sendiri begitu ramai yang nak menyumbang secara percuma. Kasihan Tun Daim iaitu salah seorang pemikir ekonomi terbaik negara. Sudahlah nasihat beliau tidak digunapakai, kena siasat pula dengan SPRM! Kalau melayu sepantas kilat SPRM kalau tokey cina kenyang gemuk dah lama pun tak ada siasat2 pun. Tun Daim tu dah lama jadi jutawan sebelum ada DEB lagi pembengong (pembangkang bengong) tu sebab duit banyak!

Post a Comment