........... Amanat Hadi - Apa Isunya... | dinturtle - Blogger PARTI MELAYU

Amanat Hadi - Apa Isunya...

Sunday, December 23, 20121comments


Dibawah adalah petikan ( setengah darinya ) artikel Utusan hasil tulisan Dr Aziz Jamaludin selaku Yang Dipertua YADIM berkaitan isu Amanat Hadi bertarikh 21 Dis 2012 yang mampu beri sedikit penerangan kepada kita - Tarik balik fatwa, mohon maaf terbuka
 

Tuduhan bahawa pemimpin dan penyokong UMNO adalah kafir berdasarkan daripada penjelasan Allah SWT dalam surah al-Maidah, ayat 44 yang bermaksud:

Sesungguhnya Kami telah menurunkan kitab Taurat, yang mengandungi petunjuk dan cahaya yang menerangi; dengan kitab itu nabi-nabi yang menyerah diri (kepada Allah), menetapkan hukum bagi orang-orang Yahudi dan (dengannya juga) ulama mereka dan pendita-penditanya (menjalankan hukum Allah); sebab mereka diamanahkan memelihara dan menjalankan hukum-hukum dari kitab Allah (Taurat) itu, dan mereka pula adalah menjadi penjaga dan pengawasnya (dari sebarang perubahan).

Oleh itu hendaklah kamu takut kepada-Ku (dengan menjaga diri daripada melakukan maksiat dan patuh akan perintah-Ku); dan janganlah kamu menjual (membelakangkan) ayat-ayat-Ku dengan harga yang sedikit (kerana mendapat rasuah, pangkat dan lain-lain keuntungan dunia), dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya) maka mereka itulah orang-orang yang kafir.

Dalam ayat 47 surah yang sama, Allah SWT menjelaskan: “Dan hendaklah Ahli Kitab Injil menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah di dalamnya, dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang fasik.

Ayat-ayat itulah yang menjadi sandaran atau hujah untuk melabelkan seseorang itu sebagai kafir walaupun tafsiran ulama yang muktabar membuktikan berlaku salah tafsiran (orang Pas) dan tidak menepati maksud sebenar.

Maksud sebenar ayat-ayat tersebut (Surah al-Maidah ayat 44 dan 45) ialah:

(1) Dalam kitab Tafsir Ruhul Ma‘ani Juzuk 6 halaman 130, ialah “Golongan Khawarij telah membuat hujah dengan ayat ini bahawa orang fasik (yang melakukan dosa) adalah kafir yakni tidak mukmin." Pendapat golongan Khawarij ini dijawab oleh ulama Islam dengan beberapa jawapan antaranya:

(a) Ayat tersebut tidak dimaksudkan dengan makna zahir kerana menghukum itu meskipun pengertiannya meliputi amalan hati dan perbuatan anggota lahir, tetapi yang dimaksudkan ialah amalan hati itu sendiri, iaitu “mempercayai’' atau “tidak mempercayai’' hukum Allah.
Maka tidak syak lagi bahawa seseorang itu menjadi kafir jika ia tidak mempercayai akan apa yang diturunkan oleh Allah; tetapi ia tidak kafir sekiranya ia tidak mengamalkan atau melaksanakan hukum Allah.

(b) Dalam tafsir Ruhul Ma‘ani juga dijelaskan lagi bahawa Ibnu Abbas telah menyatakan bahawa ‘sesungguhnya Allah menurunkan ayat-ayat di atas (ayat 44, 45, 47 Surah al-Maidah) hanya mengenai orang Yahudi, semata-mata’' (tidak dimaksudkan kepada orang mukmin (Islam).

(c) Seterusnya Tafsir Ruhul Ma‘ani menerangkan bahawa Abi Salleh telah berkata: “Tiga ayat dalam Surah al-Maidah tersebut tidak kena-mengena dengan orang Islam, ayat tersebut adalah mengenai orang kafir’.


Jika benarlah tiap sesuatu yang dilakukan yang bertentangan dengan hukum Islam akan menjadikan seorang Islam itu kafir, maka mungkin 99.9% daripada orang Islam sudah menjadi kafir selama ini (peratusan ini sebagai gambaran yang manusia tidak maksum). Mereka tetap sebagai orang Islam walaupun mereka berkali-kali membuat dosa.

Seseorang yang murtad ialah mereka yang menolak agama Islam selepas ia memeluk Islam, dan juga orang Islam yang mengkafirkan orang Islam yang lain tanpa usul periksa sedangkan orang Islam itu masih berpegang kepada ajaran Islam dan beriman kepada Allah dan Rasul-Nya.

Oleh itu, mana-mana pemerintahan Islam di dunia ini adalah bertanggungjawab memastikan perkara ini supaya tidak menjejaskan kekuatan umat Islam. Jawapan sudahlah jelas bahawa orang UMNO tidaklah kafir kerana orang UMNO, mereka tetap beriman dengan al-Quran serta sentiasa berusaha mempertingkatkan kedudukan Islam di negara ini


Mengenai isu dan hukum Takfir (mengkafirkan orang Islam) ini, Ahli Jawatankuasa Tetap Agama Bagi Majlis Raja-Raja yang bersidang pada 27 - 28 Mei, 1963 telah mengeluarkan pendapat seperti berikut:

l “...Adalah kufur mengkufurkan seseorang Islam itu satu daripada perkara yang dipandang tersangat berat di dalam agama Islam. Kiranya orang yang dihadapkan kepadanya perkataan itu tidak tepat sifat-sifat yang menjadikan dia murtad, maka kembalilah hukum murtad itu kepada orang yang berkata itu pula".

l “...Mengikut kitab karangan Syarwani dalam juzu’ 9 muka surat 88 ada mengingatkan orang-orang Islam supaya jangan terburu-buru mengatakan kufur kepada seseorang Islam, apatah lagi bagi orang awam sangat tidak digemari mengeluarkan perkataan kufur kepada saudara-saudaranya yang lain."

l “...Ahli-Ahli Jawatankuasa Tetap Agama Bagi Majlis Raja-Raja menasihatkan setiap orang Islam bahawa kalimah kufur mengkufurkan sesama Islam itu hendaklah dipelihara daripada lidah masing-masing sama ada dalam kempen-kempen atau perbualan hari-hari atau lainnya."

l Ayat 44 Surah al-Maidah adalah ditujukan kepada orang kafir Yahudi kerana mereka mengubah hukum Allah dan menggantikannya dengan hukum ciptaan mereka sendiri. Ini jelas dari ayat tersebut yang mengisahkan turunnya kitab Taurat yang dikaitkan dengan orang Yahudi.

l Tidak menjadi kafir seseorang Islam yang tidak melaksanakan hukum Islam dalam sesebuah negara selagi ia tidak mengingkari kebenaran hukum tersebut yang datang dari Allah; apatah lagi jika ia (atau mereka) tidak mempunyai kuasa penuh untuk berbuat demikian.

l Pas mengkafirkan UMNO semata-mata atas dasar perbezaan politik kerana kedua-duanya merebut pengundi Islam, khasnya orang Melayu.


Dalam hal ini, siapakah yang sebenarnya yang menolak serta memutarbelitkan al-Quran dan al-Sunah? Siapakah yang sebenarnya kafir?

Ingatlah firman Allah yang bermaksud: “Jangan engkau menurut hawa nafsu kerana yang demikian itu akan menyesatkan kamu dari jalan Allah." (Surah Sad, Ayat 26).

Maka wajarlah Presiden Pas itu mengambil pendirian memohon maaf secara terbuka kepada semua umat Islam di Malaysia dan dengan hati penuh ikhlas menarik balik fatwa yang telah banyak meninggalkan kesan negatif sehingga mengakibatkan pecah belah masyarakat dan suasana persaudaraan yang dibingkaikan oleh tafsiran politik matlamat menghalalkan cara.

Datuk Dr. Aziz Jamaludin Mhd Tahir
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah
Malaysia (Yadim)


                                              **************************
Dibawah pula petikan artikel Utusan - Amanat Hadi bukan sekadar soal politik 19 Dis 2012

Dalam memperkatakan soal ini, kita tidak mempertikaikan bahawa Abdul Hadi sendiri mungkin sudah tidak berpegang kepada amanat tersebut tetapi beliau perlu bertanggungjawab untuk membuat pengisytiharan terbuka menarik semula amanat itu dan sekali gus meminta ahli-ahli Pas supaya tidak lagi memandang serong kepada pemimpin dan ahli UMNO sebagai seorang Islam.

Abdul Hadi harus ada keberanian dalam soal ini kerana isu 'Amanat Haji Hadi' adalah satu isu besar yang tidak boleh dilupakan begitu sahaja. Bayangkanlah dalam tempoh berkenaan berapa ramai umat Islam yang berbeza fahaman politik kerana menyokong UMNO atau Pas berbalah sesama sendiri? Berapa ramai yang bercerai-berai? Berapa banyak nyawa yang terkorban kerana percaya perjuangan menentang kerajaan BN adalah jihad?

Ia kerana seperti mana kata, C.N Al-Afghani dalam buku itu, ''…memang Pas telah lama tinggalkan isu kafir mengkafir ini, masalahnya sekarang doktrin terhadap ahli masih kukuh terpahat di dada kami."

Doktrin? Inilah persoalan yang dibimbangi kerana ketaksuban kepada perjuangan Pas apatah lagi dengan tiada sebarang usaha menarik balik amanat itu ia memungkinkan sesetengah ahli Pas di peringkat akar umbi masih mempercayai bahawa UMNO adalah musuh yang perlu diperangi biar pun mereka adalah terdiri daripada umat Islam yang melafazkan kalimah syahadah yang sama.

Mungkin Pas bimbang jika Abdul Hadi membuat pengisytiharan menarik balik amanat itu ia akan menunjukkan sememangnya amanat tersebut salah tetapi bukan soal pertimbangan politik yang harus diberikan keutamaan tetapi soal akidah dan kesejahteraan umat Islam di negara ini.

Share this article :

+ comments + 1 comments

....................
Reply To This Comment ...................
December 24, 2012 at 10:29 AM

Sebab 2 pujangga berkata perkara yang paling BERAT adalah MEMOHON MAAF..

Post a Comment